~@Langit Tidak Semestinya Sentiasa Cerah@~

Thursday, March 12, 2009

Setiap hari, kita melalui peredaran masa siang dan malam. Kadang-kala itu, kita juga lihat bagaimana langit yang pada awalnya cerah, biru dan bersih tiba-tiba menjadi gelap bersama tiupan angin yang kencang. Ianya samalah seperti kehidupan kita dalam berpasangan. Adakala tenang setenang-tenangnya dan adakalanya berombak kuat porak peranda. Sesetengah orang ada kata,


“Hidup umpama roda. Kadang-kala kita di atas. Kadang-kala kita di bawah.”


Memang tipulah kalau saya katakan yang saya tidak pernah berselisih faham dengan Mrs Teddy. Mesti akan adanya sedikit sebanyak masalah yang timbul apabila kami bersama. Kadang-kala isu yang kecil pun boleh menjadikan kita “kurang mesra” bersama dengan pasangan kita.


Tetapi apabila timbul isu seperti ini, kita perlulah sedar dan segera bertolak ansur antara satu sama lain. Ini kerana, apabila berlaku sesuatu percanggahan janganlah kita biarkan ia menjadi lebih besar. Takut nanti akan lebih memudaratkan keadaan. Tetapi, bagaimanakah caranya?
Cara yang terbaik adalah berdiam sebentar. Kita biarkan diri kita tenang dan relax sebelum kita berbincang semula mengenai masalah yang timbul itu. Ini juga dapat memberikan si dia masa untuk turut berfikir mengenai kesilapan yang mungkin dilakukan oleh dirinya sehingga tercetusnya perbalahan.


Dengan cara ini, kedua-dua belah pihak dapat memberikan jalan penyelesaian yang terbaik bagi menjaga hubungan mereka. Tetapi, janganlah menjadikan penyelesaian yang bakal diambil itu sebagai bahan api yang memarakkan lagi masalah yang ada. Kita kenalah bersikap matang dan terbuka dalam menerima pendapat si dia.


Jadi, diharapkan dengan tips ini, dapat memberikan anda sedikit sebanyak idea untuk menyelesaikan masalah dengan pasangan anda. Ianya juga boleh digunakan dalam menyelesaikan masalah dengan orang lain seperti rakan sekerja, bos kita ataupun dengan sesiapa sahaja.


Bagaimana pula dengan anda? Sekiranya anda sedang “kurang mesra” dengan kekasih, apakah tindakan yang anda lakukan?

0 comments: